GISBH diisytihar menyeleweng

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan bahawa ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaah Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pejabat Mufti Negeri Sabah menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook jabatan itu, berkata Majlis Fatwa Negeri Sabah mendapati tindakan ahli jemaah GISBH di negeri ini bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Katanya, ketetapan itu diputuskan pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah Tahun 2024 yang bersidang pada 1 dan 2 Oktober lalu.

Jelasnya, penyelewengan dilakukan ahli jemaah GISBH meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara.

“Penyelewengan dari Sudut Akidah, antaranya meyakini Abuya (Ashaari Mohammad) ghaib dan akan muncul bersama imam Mahdi (Syeikh Suhaimi) sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

“Ia juga meyakini amalan bertabarruk yang bercanggah dengan syarak seperti bertabarruk dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH, antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, bagi penyelewengan dari Sudut Syariah, antara yang dikesan ialah dakwaan bahawa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi, selain menunaikan solat Jamak Qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabililah.

“Penyelewengan dari Sudut Muamalah Ekonomi pula, antaranya ialah penyalahgunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan dan orang ramai,” katanya.

Katanya, GISBH juga dikesan mengeksploitasi ahli atau pekerja seperti kerja tanpa gaji dan pembayaran wang tugasan harian selain penyelewengan lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Sabah meminta mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman serta ajaran GISBH wajib bertaubat dan meninggalkan fahaman serta ajaran tersebut dengan segera. – Info X