KOTA KINABALU: “Indah (anak) tidak pernah pergi berhampiran sungai itu, lebih-lebih lagi seorang diri”.
“Saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku,” kata Anilda Saalok, 39, ibu kepada Indah Tawasil, 11, yang ditemui lemas di sungai Kampung Lokub, Manggatal, di sini, petang tadi.
Mayat Indah ditemui lemas pada jam 6.30 petang selepas operasi pencarian hampir enam jam, bermula 1.40 petang tadi.
Anilda berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di sebuah pasar raya berhampiran.
Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila seorang lagi anaknya datang dan memberitahu adiknya lemas di sungai berhampiran rumah mereka.
“Saya terkejut dan terus datang ke sini untuk mencari Indah namun gagal menemuinya. Saya masih tidak percaya kejadian ini boleh berlaku.
“Dia tidak pernah pergi berhampiran sungai ini lebih-lebih lagi seorang diri. Mungkin ada budak-budak lain yang membawanya ke sini,” katanya.
Anilda berkata, budak-budak kampung sememangnya suka berenang di tempat berkenaan namun ia adalah kali pertama buat anaknya.
“Pagi tadi, sebelum ke tempat kerja, Indah (anak) ingin ikut ke tempat kerja namun saya memintanya supaya duduk di rumah saja kerana cuaca yang tidak baik.
“Lalu dia meminta izin untuk ke surau. Sejak beberapa hari lalu, Indah rajin ke surau untuk solat dengan kakaknya.
“Saya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku, katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Madusih Nuhuri, 60, berkata, ketika itu, keadaan cuaca hujan lebat dan dia terpaksa menimba air bagi mengelakkan bot miliknya karam.
Katanya, pada mulanya dia melihat mangsa berada di tepi sungai seorang diri namun terkejut apabila menyedari kanak-kanak terbabit sudah berada di dalam sungai.
“Kejadian tidak pasti jam berapa, tetapi dalam keadaan hujan lebat. Ketika itu saya berada di atas bot sedang menimba air untuk mengelakkan bot karam.
“Saya melihat dia berjalan seorang diri sebelum tiba-tiba melompat ke sungai. Tidak sampai 10 minit, saya menyedari dia melambai sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui, di lokasi.
Menurutnya, dia tidak mampu membantu kerana keadaan arus terlalu deras sehinggakan seperti puting beliung. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad