GRED PENJAWAT AWAM SABAH RENDAH KETIKA ZAMAN BN

KUDAT: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata gred penjawat awam Sabah adalah lebih rendah berbanding pegawai Kerajaan Persekutuan semasa zaman Barisan Nasional (BN) walaupun jawatan yang dipikul sama.

Beliau berkata perkara tersebut berlaku disebabkan sikap Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman sendiri gemar menyambung kontrak pegawai tertentu berulang-kali menyebabkan ada pegawai bawahan gagal menikmati kenaikan pangkat atau gred selama 20 tahun.

“Sebagai contoh, ketika seorang pegawai daerah di Semenanjung menikmati gred gaji sehingga Jusa C, namun di Sabah, gred tertinggi pegawai daerah semasa pemerintahan Tan Sri Musa Aman cuma N48.

“Bagaimanapun, selepas Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah, dasar menyambung kontrak pegawai atasan dimansuhkan, malah reformasi pentadbiran diamalkan menyebabkan lebih 500 kakitangan mendapat kenaikan pangkat. Kita lonjakkan semua, berapa pegawai-pegawai daerah naik Jusa C Setiausaha Tetap yang ada semua sudah Jusa C,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas majlis penyerahan geran tahah, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk daripada 121 kampung di seluruh Kudat.

Shafie berkata, pegawai kerajaan Sabah umpama ‘kerani’ setiap kali pergi ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat memandangkan rakan sejawat mereka di Semenanjung mempunyai gred yang lebih tinggi.

“Oleh itu perubahan dasar pentadbiran kerajaan Sabah yang diterajui Warisan ialah antaranya menyediakan peruntukan RM30 juta untuk pegawai kerajaan menyambung belajar di luar negara sehingga ke Universiti Cambridge untuk dinaikkan pangkat.

“Dulu mereka tidak hantar pegawai-pegawai kita naikkan pangkat, kesian pegawai-pegawai kita kalau mesyuarat di kuala lumpur duduk satu meja mereka punya gred macam kerani yang pegawai dari Kuala Lumpur semuanya tinggi-tinggi pangkat,” katanya.-http://beritasabah.com