Polis menahan tiga penjawat awam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan kerajaan bagi melepasi sekatan di Jalan Kunak-Tawau minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam 14 Julai lalu, tiga lelaki berusia 39 hingga 49 tahun itu dikatakan menggunakan dua pacuan empat roda dengan lambang sebuah agensi kerajaan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun percubaan untuk melepasi semua sekatan jalan raya (SJR) di sepanjang lalu itu gagal kerana tindakan mereka memandu laju menimbulkan curiga pihak berkuasa.
Selepas melalui tiga SJR sumber berkata, mereka ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas di Tawau.
Selepas dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan lanjut katanya, ketiga-tiga suspek itu mengaku membawa 15 penumpang dipercayai PATI dari Lahad Datu ke Tawau.
“Bagaimanapun ketika ditahan, hanya tiga suspek berada dalam kenderaan, manakala semua PATI sudah melarikan diri.”
Kejadian itu turut tular di media sosial sejak kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga individu terbabit.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ