Kerajaan perlu tegas kasi hapus penjualan rokok haram, kata JTI

Kerajaan perlu mengekalkan dasarnya untuk mengekang perdagangan rokok haram walaupun berdepan tekanan daripada pihak berkepentingan, kata Japan Tobacco International (JTI) Malaysia.

Pengarah Urusannya Khoo Been Lend dalam sesi pembentangan bersama media hari ini, menggesa kerajaan berpegang tegas pada dasarnya yang telah menunjukkan kejayaan awal dalam mengekang aktiviti rokok haram, selepas menunjukkan penyusutan buat kali pertama dalam enam tahun pada Mei 2021.

Kajian Rokok Haram (ICS) terbaru menunjukkan pengurangan rokok haram kepada 57.9% berbanding 64.1% pada Disember 2020, iaitu penyusutan sebanyak 6.2%.

“Ini kali pertama dicatatkan sejak 2015.”

Khoo berkata, pengurangan itu menunjukkan keberkesanan dasar kerajaan yang diperkenalkan pada Belanjawan 2021, termasuk menghentikan pengeluaran lesen import baharu, memperketatkan proses pembaharuan lesen import, mengehadkan pemunggahan rokok kepada hanya lima pelabuhan, serta mengenakan cukai terhadap pengimportan rokok dengan kemudahan pulang balik bagi eksport semula.

“Adalah penting supaya kerajaan terus mengekalkan dasarnya apabila berdepan dengan pihak berkepentingan, yang akan meraih untung jika dasar berkenaan dibatalkan,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan mengekalkan kadar cukai eksais sedia ada, kerana meningkatkannya akan melonjakkan harga rokok seterusnya menyebabkan pengguna membeli rokok putih yang lebih murah.

Katanya, kerajaan dan agensi penguatkuasaan perlu bertindak sekarang terhadap ancaman baharu, seperti penggunaan bot nelayan dan jeti persendirian untuk mengelak sebarang sekatan terhadap perdagangan rokok haram.

JTI Malaysia turut mengulangi gesaannya sebelum ini supaya cecair vape dikenakan cukai, dengan menambah jumlah cecair nikotin yang diseludup masuk ke Malaysia bersamaan dengan 12.5 bilion rokok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *