GURU BESAR DIDAKWA LANTIK SYARIKAT ADIK IPAR

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Khas, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melantik syarikat dimiliki adik iparnya untuk membekal peralatan sekolah antara Januari hingga Jun 2015.

Abd Rasid Mohamad, 50, yang dituduh melakukan kesalahan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tetabuan, Beluran mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Rasid didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan melantik Aslan Enterprise yang dimiliki adik iparnya sebagai syarikat pembekal barangan sekolah dengan keseluruhan bernilai RM16,378.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basiruddin.

Abd Rasid yang diwakili peguam, Marzuki Spawi didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan deposit RM8,000 oleh dua penjamin tempatan.

Abd Rasid turut diarahkan menyerahkan pasport dan melapor diri di SPRM Sandakan sekali dalam setiap tiga bulan.

Mahkamah turut menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh pengurusan kes.