TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan Pegawai Daerah (DO), Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Presiden Majlis Perbandaran supaya melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti dan ketelusan, khususnya membabitkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.
Katanya, mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat kerajaan dan memaklumkan projek pembangunan untuk rakyat yang diluluskan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di kawasan masing-masing.
“DO adalah pegawai yang amat penting di daerah, perlu memberikan kerjasama kepada wakil rakyat kerajaan dan jangan ‘tapuk’ (sembunyikan) maklumat terutama projek pembangunan kerajaan.
“Wakil rakyat mungkin tahu dan maklum mengenai projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu.
“Saya juga telah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya memaklumkan kepada wakil-wakil rakyat mengenai projek dan peruntukan daripada kerajaan persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka.
“Ini kerana saya menerima aduan daripada wakil-wakil rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-27, Tahun 2024 di Shangri-La Rasa Ria, di sini, hari ini.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai di beberapa daerah berhubung ketidaktelusan atau integriti dalam kalangan DO, ADO dan pegawai jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek kecil untuk rakyat yang amat penting dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan.
“Justeru saya berharap DO dan ADO mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada aspek integriti dan ketelusan. Apa yang penting ialah kita permudahkan urusan-urusan mengenai pelaksanan projek-projek kecil kerana rakyat amat memerlukan.
“Sebagai pegawai yang setiap masa berada di bawah, rakyat perhatikan kita. Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program-program kerajaan di daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima wakil-wakil rakyat dan juga kerajaan kerana rakyat akan kritik wakil rakyat dan kerajaan.
“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita. Jangan kita lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan saja dalam pelaksanaan projek kecil tetapi pengeluaran lesen dan sebagainya kerana ini adalah soal kehidupan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada pegawai kerajaan khususnya DO dan ADO yang berada di lapangan kerana rakyat akan berjumpa dengan mereka untuk pelbagai urusan.
“Jika sesuatu urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, jangan pula ambil masa terlalu lama sehingga satu atau dua bulan untuk selesaikan atau luluskan, kerana ini akan memberi impak negatif kepada kerajaan.
“Saya ingin mengingatkan bahawa saya tidak akan berkompromi, jika saya dapati ada unsur-unsur melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat yang disengajakan, menyusahkan urusan dengan rakyat termasuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan.
“Jika mempunyai bukti yang nyata, saya akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai tersebut yang tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dengan baik dan sempurna.
“Kerajaan mahukan kejayaan dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya dan banyak lagi isu-isu yang perlu kita selesaikan yang bersangkutan dengan rakyat.
“Bukan saja DO dan ADO tetapi semua pegawai kerajaan, sebagai pelaksana kepada kerajaan yang memerintah. Laksanakan tugas dengan baik, permudahkan. Saya berharap mereka bukan saja meningkatkan integriti, ketelusan tetapi kecekapan dalam mentadbir di pejabat peringkat daerah, kementerian dan lain-lain,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ