IPD KK teruskan operasi setinggan, 62 lagi diroboh

KOTA KINABALU: Sebanyak 62 rumah setinggan dirobohkan menerusi operasi perobohan koloni setinggan di sebuah penempatan dalam daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi yang dirancang dan dilaksanakan oleh IPD Kota Kinabalu membabitkan kerjasama pelbagai agensi.

Katanya, agensi yang terbabit termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pasukan keselamatan menjalankan operasi perobohan koloni setinggan di kawasan Kota Kinabalu. – Foto/IPD KK

“Dalam operasi ini, sebanyak 62 buah rumah setinggan berjaya dirobohkan. Rumah-rumah ini didapati dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.

“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, operasi ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk membanteras jenayah, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), dadah dan gejala sosial di daerah Kota Kinabalu.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah,” katanya. – Info X