KOTA KINABALU: UMNO Tuaran mempunyai hak menjemput sesiapa sahaja ke majlis perasmian mesyuaratnya, Sabtu lalu termasuk Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, kata Ketuanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Mengulas teguran Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Rahman berkata keputusan menjemput Ketua Menteri itu dibuat kerana menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional, lapor FMT.
GRS antara komponen membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan selain parti-parti kecil yang ada.
Rahman berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri sedia maklum kehadiran Hajiji bersama rombongan sebagai jemputan khas, malah meneruskan hasrat merasmikan mesyuarat itu walaupun ada pihak menasihatinya tidak hadir.
“SIAPA YANG UMNO TUARAN JEMPUT KE MESYUARAT ITU ADALAH HAK UMNO TUARAN.
“Lagi pun UMNO Tuaran tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin Umno Sabah dalam majlis anjuran parti lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Rahman tidak menamakan pemimpin UMNO Sabah terbabit, namun Bung pernah menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, Disember tahun lalu yang menguatkan lagi desas-desus kerjasamanya menjelang PRN dijangka tahun depan.
Hari ini, dilaporkan Bung menegur tindakan Rahman yang juga timbalan ketua UMNO Sabah menjemput Hajiji ke majlis perasmian mesyuarat UMNO Tuaran, sebagai ‘tidak tepat dan silap’.
Bung berkata ini kerana majlis itu seharusnya menjadi platform buat Zahid menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli UMNO namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji dan Ketua PH Sabah, Datuk Christina Liew.
Mengulas lanjut, Rahman berkata tidak timbul soal strategi politik didedahkan kerana lazimnya ucapan perasmian mesyuarat perwakilan dibuat secara terbuka dan diketahui ramai.
Beliau yang juga ahli majlis kerja tertinggi parti itu berkata jemputan ke majlis itu juga telah dipanjangkan kepada semua ketua-ketua bahagian melalui ibu pejabat UMNO Sabah.
Rahman turut menjelaskan tidak timbul soal dua nakhoda dan beliau tidak pernah mengganggu pentadbiran UMNO Sabah selain menggunakan kedudukan bagi menghalang usaha memperkasa parti.
“Cuma sebagai orang yang bertanggungjawab mencadangkan ‘Autonomi UMNO Sabah’ kepada presiden pada 2018, saya hanya mahukan supaya semua kepimpinan tertinggi UMNO Sabah dibawa berbincang apabila ada keputusan besar dibuat mengenai masa depannya,” jelasnya. –SABAH NEWS
More Stories
KUSKOP komited wujudkan insentif untuk usahawan sabah dan serawak
Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’
DBKK laksana program ‘Jom Bayar Kompaun’