Oleh Wartawan BS
8 Fabruari 2020
KINABATANGAN: Pemberian imunisasi polio akan diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah dalam waktu terdekat dalam usaha mengawal penyakit itu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2020 yang bermula sejak 20 Januari lalu mensasarkan semua kanak-kanak berumur di bawah lima tahun di negeri ini.
Bagi daerah ini, katanya, kempen terbabit sudah meliputi hampir 70 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

“Imunisasi polio secara oral tanpa mengira status kewarganegaraan atau pun status imunisasi terdahulu untuk memastikan tiada penularan kes polio baru di Sabah.
“Ini seterusnya untuk mendapatkan semula pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Malaysia adalah negara yang bebas polio,” katanya berucap merasmikan
Majlis Pelancaran KIPS Peringkat Daerah Kinabatangan di Ladang Tung Hup 1, hari ini.
Christina turut menyeru ibubapa di kawasan ladang agar memanfaatkan kempen yang dilaksanakan untuk memberi imunisasi kepada anak mereka.
Beliau menjelaskan, kempen turut dilaksanakan di kawasan ladang kerana pihaknya menyedari kesukaran ibubapa untuk membawa anak mereka keluar ke klinik kesihatan disebabkan isu jarak, pengangkutan, penjagaan anak dan sebagainya.

“Kita juga berterima kasih terhadap sumbangan khidmat sukarelawan polio yang terdiri daripada kakitangan ladang.
“Mereka memainkan peranan yang besar iaitu menyebarkan maklumat, memberi nasihat kepada ibubapa dan memastikan setiap ibubapa yang mempunyai anak yang berumur di bawah lima tahun membawa anak mereka mendapatkan imunisasi polio,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ