NAIK TARAF PUSAT PENGAMBILAN AIR ULU SUNGAI MALIAU

Oleh Wartawan BS
7 Februari 2020

TELUPID: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menggesa kerajaan menaik taraf kemudahan pam air di Pusat Pengambilan Air di Ulu Sungai Maliau bagi mengatasi isu gangguan bekalan air di daerah ini.

Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang, berkata berdasarkan pertemuan dengan pihak Jabatan Air Telupid, baru-baru ini, punca utama yang menyumbang kepada gangguan bekalan air di kawasan berkenaan adalah keadaan pam air yang sering rosak.

Katanya, hanya satu atau dua pam air yang berfungsi dan jika rosak, tiada pam ganti sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air berlaku lebih lama.

“Saya difahamkan, sebelum ini terdapat empat pam air, tetapi tidak semuanya berfungsi dengan baik.

“Saya juga difahamkan oleh pihak Jabatan Air Telupid bahawa masalah dan cadangan untuk mengatasi isu ini sudah dikemukakan kepada pihak kerajaan sejak 2010, namun sehingga kini belum dapat diselesaikan,” katanya.

Selain pam air, Felix berkata, laluan ke Pusat Pengambilan Air itu sering rosak dengan ada beberapa jalan yang dikhuatiri akan runtuh pada bila-bila masa, sekali gus menyukarkan penghantaran bekalan minyak diesel dan kerja pembaikan pam di pusat itu.

Jelasnya lagi, genset di pusat itu memerlukan 45,000 liter minyak sebulan dan menjadi cabaran untuk menghantar minyak setiap hari ketika keadaan jalan teruk. 

“Kita juga dapati Loji Air Telupid menghadapi masalah yang kritikal kerana sering dilanda banjir dan lapan pam air yang ada di loji itu sering rosak.

“Masalah rangkaian paip yang disalurkan kepada pengguna juga sudah terlalu lama dan usang,” katanya.

Bagi mengatasi keseluruhan masalah itu, Felix berkata, kerajaan perlu menyelenggara sepenuhnya laluan ke pusat itu, selain mempertimbangkan untuk menyalurkan bekalan elektrik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerana penggunaan genset tidak lagi praktikal untuk jangka panjang.

“Keadaan bangunan dan parit di loji air juga perlu diperbaiki dan setiap pam yang ada perlu dinaik taraf. Begitu juga dengan masalah rangkaian paip yang disalurkan kepada pengguna perlu diganti.

“Kita sedar kerajaan hari ini belum sampai dua tahun usianya sebagai parti pemerintah, namun warga Telupid mahu agar kerja pembaikan dan naik taraf disegerakan demi keselesaan rakyat,” katanya.