KOTA KINABALU: Sabah hanya mempunyai seramai 28 orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) di 24 hospital seluruh negeri ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penempatan mereka merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.
Beliau berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani pesakit yang memerlukan intervensi lanjut bagi mencapai kefungsian sosial yang optimum.
Jelasnya, dengan jumlah yang terhad itu, ramai penduduk terutama di pedalaman berdepan pelbagai halangan mendapatkan khidmat kesihatan disebabkan faktor geografi, pengangkutan dan tahap sosio ekonomi mereka.
“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi keperluan rawatan.
“Sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di Hotel 7 Suria, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kos perubatan yang semakin meningkat pada masa ini memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.
Katanya, akibat terkesan dari segi ekonomi, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengingkat, sekali gus menambah cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan menyeluruh.
Sehubungan ini katanya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat.
“Justeru, PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin dan tidak berkemampuan ketika menerima rawatan atau pemulihan.
“Mereka juga dapat membantu pesakit (klien) untuk mencapai kesihatan yang lebih baik melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
“Pesakit di negeri ini mempunyai cabaran tambahan apabila mendapatkan rawatan di hospital, institusi dan klinik kesihatan berikutan isu demografi negeri dan jarak rumah mereka di pedalaman.
“Oleh itu, PKSP perlu menggunakan teknologi terkini selaras dengan perkembangan semasa dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata pandemik COVID-19 sebelum ini perlu dijadikan iktibar dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat ketika situasi yang sukar.
“Walaupun tidak dapat berinteraksi secara bersemuka dengan pesakit, namun perkhidmatan diteruskan melalui kaedah teknologi terkini seperti konsultasi secara maya agar kesihatan dan kebajikan pesakit terus terpelihara, terutama pesakit yang tidak dapat hadir untuk sesi konsultasi susulan di fasiliti rawatan,” katanya.
Hajiji berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber baharu bagi memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat rakyat.
Beliau juga berharap Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertemakan ‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ akan membuahkan hasil yang memberi manfaat bukan saja kepada PKSP tetapi juga kepada rakyat Sabah keseluruhannya.
“Kepada semua PKSP, teruskan momentum dan usaha profesional dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit terutamanya pesakit yang kurang berkemampuan,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ