Hanya Karnival Ria Kinabalu dibenarkan di kawasan Menara Kinabalu, perhimpunan aman dilarang

KOTA KINABALU: Tiada sebarang perhimpunan yang dibenarkan di kawasan Menara Kinabalu selain daripada Program ‘Karnival Ria Kinabalu’ anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Kerajaan Negeri Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihak polis bagaimanapun akan tetap mengerahkan penugasan pasukan polis di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan orang awam.

Katanya, ia berdasarkan kepada maklumat terdapat kumpulan orang awam yang berhajat untuk mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan.

“Perhimpunan ini telah kita tolak berdasarkan kepada keadaan yang tidak memenuhi syarat untuk diadakan di kawasan berkenaan.

“Tujuan kita menolak perhimpunan ini adalah untuk mempastikan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan para pengunjung yang menghadiri karnival berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya percaya, perhimpunan tanpa kebenaran itu akan menimbulkan suasana yang tidak tenteram khususnya kepada pengunjung kanak-kanak, ibu-ibu dan orang-orang tua yang berada di karnival berkenaan.

Katanya, sekiranya perhimpunan ini diteruskan, maka pihak polis akan mempastikan kumpulan ini tidak mengganggu gugat karnival yang sedang dilaksanakan.

“Kita akan mempastikan mereka tidak hadir di kawasan berkenaan dengan mengadakan beberapa sekatan agar kumpulan ini tidak menceroboh ke kawasan berkenaan.

“Kita bimbang, apabila sekumpulan orang ini berkumpul dan tiba-tiba datang kumpulan yang membuat provokasi, ia boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini.

“Oleh sebab itu, memandangkan jangkaan kita yang hadir pada karnival ini ramai, maka sudah tentu persiapan polis pun sesuai dengan jumlah kehadiran yang ada,” katanya. – Info X