HANYA TAWAU ZON MERAH BERDASARKAN KES AKTIF

KOTA KINABALU: Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini, menunjukkan hanya Tawau sebagai kawasan zon merah apabila dikategorikan berdasarkan jumlah kes aktif Covid-19.

Sebelum ini, KKM hanya menyatakan zon merah berdasarkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di sesebuah kawasan.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kes mungkin tidak menggambarkan keadaan wabak di suatu kawasan sekiranya mengambil kira kes pulih serta pesakit yang meninggal dunia.

Menurut statistik KKM berkenaan, jumlah keseluruhan kes di Tawau adalah sebanyak 81 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 44.

Angka itu menjadikan daerah terbabit sebagai zon merah berdasarkan kes aktif kerana melebihi 40 kes.

Untuk rekod, kawasan yang merekodkan lebih daripada 40 kes dikategorikan sebagai zon merah, diikuti dengan zon jingga (20 hingga 40 kes), zon kuning (kurang daripada 20 kes) dan zon hijau (tiada kes).

Berbeza dengan Tawau, dua daerah yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon merah iaitu Kota Kinabalu dan Lahad Datu masing-masing kini dalam kategori kuning jika berdasarkan kes aktif.

Ini kerana, walaupun Kota Kinabalu mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 44 kes, hanya 18 kes aktif dan masih menerima rawatan.

Sementara itu, Lahad Datu pula yang baru dikategorikan sebagai zon merah semalam selepas mencatat jumlah 42 kes juga berada dalam zon kuning apabila dikategorikan berdasarkan kes aktif iaitu sebanyak 12.

Sebelum ini, KKM menjelaskan bahawa pihaknya sedang menimbang untuk membuat takrifan semula berhubung zon, dengan berdasarkan bilangan kes aktif atau data pesakit yang belum sembuh dan berisiko menjangkiti orang lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya beberapa kali menegaskan bahawa, kadar kebolehjangkitan wabak tersebut adalah berdasarkan bilangan kes aktif./BERITA SABAH