Hari Menderma Darah Sedunia Peringkat HQE 3 November depan

KOTA KINABALU: Orang ramai dipelawa untuk hadir menjayakan sambutan Hari Menderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 3 November depan, bertempat di lobi utama HQE dari jam 8 pagi hingga 3 petang.

Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin berkataselainacaramenderma darah, pelbagai acara lain akan diadakan sepanjang kempen seperti tayangan video pendek ‘Perkhidmatan Transfusi – Kami sedia membantu’, Soft Launching Blood Bank Information Technology System (BBITS) dan perkongsian pengalaman penderma darah terbanyak HQE, selain booth pameran.

“Pendarah juga menyediakan 30 kampit beras sebagai goodies kepada penderma terawal sebagai saguhati,” katanya.

Beliau berkata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah Datuk Ir Edward Yong Oui Fah dijangka akan merasmikan majlis itu.

Kempen kali ini katanya, adalah anjuran bersama Pendarah, Jabatan Perubatan Transfusi, Unit Perubatan Transfusi, Ahli Lembaga Pelawat HQE, Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia (Perdarah) dan Philip Pang Group.

Tema sambutan adalah ‘We make a living by what we get but we make a life by what we give’.