Hospital wanita dan kanak-kanak terkena serangan Rusia, 17 kakitangan cedera

Serangan udara tentera Rusia mengenai sebuah hospital bersalin dan kanak-kanak di Mariupol pada Rabu. - Foto AFP

KIEV, 10 Mac – Lebih kurang 17 kakitangan pusat perubatan cedera selepas satu serangan udara tentera Rusia terkena sebuah hospital wanita dan kanak-kanak di Bandar pelabuhan Mariupol, Ukraine, semalam.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut menyiarkan rakaman video di Twitter yang menunjukkan kemusnahan besar di Hospital itu termasuk tingkap pecah dan dinding dalaman tercabut disebabkan oleh serangan langsung tentera Rusia.

Ekoran serangan tersebut, terdapat orang dewasa dan kanak-kanak terperangkap di bawah serpihan bangunan.

Menurut Ketua Wilayah Donetsk, Paylo Kyrylenko dalam satu video yang disiarkan di Facebook, sebanyak 17 kakitangan hospital yang cedera manakala kanak-kanak tidak mengalami sebarang kecederaan dan kematian.

Serangan itu berlaku ketika seorang wanita sedang bersalin di hospital yang baharu diubah suai, kata pihak pentadbiran tentera wilayah Donetsk kepada Agence France-Presse (AFP).