TAWAU: Seorang ibu tunggal dibelasah lima wanita hingga cedera dalam kejadian di kawasan letak kereta sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Kejadian yang berlaku pada jam 11 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan dan pendarahan di bahagian muka dan kepala.
Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila mangsa yang berstatus ibu tunggal dituduh sebagai perampas suami orang walaupun dia mendakwa kekasihnya masih bujang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita itu sendiri pada jam 4.41 petang, semalam.
Katanya, wanita terbabit mendakwa diserang dan dicederakan oleh lima wanita pada 30 Disember lalu di kawasan tempat meletak kenderaan di hadapan sebuah hotel.
“Selain itu, keempat-empat tayar kereta wanita ini juga dipancitkan dipercayai perbuatan khianat semua suspek terbabit.
“Susulan itu, polis bertindak menjalankan tangkapan ke atas semua suspek yang berusia 16 hingga 62 tahun terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Jasmin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai digesa supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menjaga keamanan dan tidak mengambil tindakan melulu yang boleh mencetuskan keganasan.
“Kes ini juga menjadi peringatan masyarakat bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melakukan keganasan bagi memastikan keselamatan orang awam terpelihara,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad