Remaja 13 tahun maut ketika melintas jalan

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas berhampiran Kampung Tebobon, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa berusia lingkungan 13 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Bandar Sierra.

“Sebaik tiba di tempat kejadian mangsa didapati berlari melintas secara tiba-tiba dan pemandu terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki terbabit.

“Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki tercampak ke tepi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat msngikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas. Selain itu juga bagi pejalan kaki dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas, jika selamat barulah melintas jalan,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut digerakkan ke lokasi kejadian. – Info X