INDIVIDU DARI LUAR NEGARA MAHU MASUK SABAH WAJIB DIKUARANTIN

KOTA KINABALU: Selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah memutuskan bermula esok semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki negeri ini sama ada melalui laut, darat atau udara, akan dikenakan perintah kuarantin wajib di pusat yang telah ditetapkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tempoh kuarantin adalah selama 14 hari atau apa-apa jumlah hari penginapan Person Under Surveillance (PUS) yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Kadar Kos Kuarantin di Stesen Kuarantin (hotel yang diwartakan) adalah RM150 sehari dan bagi pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kos akan ditanggung oleh kerajaan.

“Bagi pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan adalah percuma bagi warganegara dan bayaran RM150 kepada bukan warganegara. Semua kos ujian pula yang akan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan ditanggung oleh Person Under Surveillance (PUS),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata semua individu yang baru pulang dari luar negara dan berhasrat untuk masuk ke Sabah adalah diingatkan untuk mematuhi Garis Panduan Proses Kemasukan dan arahan kuarantin.

Mohd Shafie berkata selain itu kerajaan negeri juga memutuskan agar semua pelaut atau anak kapal yang terlibat dalam proses pengambilan dan pelepasan di semua pelabuhan di Sabah diwajibkan untuk menjalani ujian Covid-19 bermula esok.

“Kerajaan negeri memutuskan untuk memperketatkan dan menguatkuasakan arahan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan disebabkan situasi jangkitan Covid-19 semasa di negeri ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *