INGKAR PKP, LAPAN DITAHAN DI SANDAKAN

SANDAKAN: Lapan individu, di sini, ditahan selepas ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Semua suspek ditahan di tiga lokasi berasingan membabitkan lima orang di Kampung Forest, dua di Taman Merpati dan seorang lagi di pusat bandar Sandakan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata suspek yang ditangkap di Taman Merpati turut disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, semua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Kita menggesa masyarakat terus mematuhi PKP dan beri kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Akta Dadah Berbahaya 1952./BERITA SABAH