IPD KK sampaikan pakej bantuan makanan kepada 50 keluarga di Inanam

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyampaikan bakul makanan bagi membantu 50 keluarga sekitar Kampung Tatahan, Inanam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, program membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 itu kini sudah memasuki fasa ketiga.

Katanya, IPD Kota Kinabalu berharap ia dapat meringankan bebanan yang dihadapi masyarakat ketika penularan pandemik Covid-19.

“Bantuan bakul makanan ini diserahkan kepada mereka yang betul-betul terjejas dan memerlukan bantuan di kawasan ini.

“Secara keseluruhannya, IPD Kota Kinabalu sudah menyampaikan lebih 600 bakul makanan kepada masyarakat sekitar daerah ini ,”’katanya pada sidang media selepas majlis ringkas penyerahan bakul makanan di Kampung Tatahan, Inanam.

Mohd Zaidi berkata, bantuan bakul makanan yang diagihkan ini bukan saja atas inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi juga sunbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan warga polis IPD Kota Kinabalu sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai seoranf pesakit Covid-19 yang melarikan diri, Ahad lalu, Mohd Zaidi berkata, usaha memburu suspek masih giat dijalankan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada polis atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya. – Asia Times