Isu air UMS: Sambungan paip haram jadi punca

KOTA KINABALU: Terlalu banyak curi air di kawasan setinggan di belakang pusat beli belah 1Borneo antara sebab tekanan air terjejas hingga tidak dapat naik ke tangki R13 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penjelasan itu diberikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berikutan penemuan banyak sambungan paip haram ketika Ops Pemotongan Sambungan Haram Setinggan oleh jabatan itu, sebelum ini.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, pada 7 April lalu, sebanyak 20 sambungan haram dikesan dan dipotong di belakang 1Borneo dan 1Sulaman.

Sambungan paip haram di lokasi terbabit dikesan dibuat terus dari paip utama JANS, sebelum dipotong pihak kontraktor JANS yang melaksanakan operasi di kawasan terbabit.

Sebelum itu, pada 3 April lalu, sebanyak 11 sambungan haram sudah dipotong di belakang 1Borneo.

UMS dalam kenyataan medianya berhubung isu air di kampus itu sebelum ini turut menjelaskan perkara itu sebagai punca utama bekalan air tidak sampai ke tangki R13.

Paras air di tangki berkenaan didapati sangat rendah iaitu hanya di angka satu daripada skala 10. – Info X