KOTA KINABALU: Jumlah miskin tegar di Sabah menurun kepada 1,464 ketua isi rumah (KIR) setakat 28 Februari lalu, berbanding 14,553 KIR pada 29 Februari 2024.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata statistik itu menunjukkan penurunan yang besar sebanyak 89.9 peratus.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan data dari senarai e-Kasih itu bersifat dinamik dan angka yang ditunjukkan boleh berubah berdasarkan pelbagai faktor.
“Ingin saya tekankan bahawa data e-Kasih ini bersifat dinamik yang mana kenaikan dan perubahan status ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain.
“Kerajaan negeri menjangkakan dengan penyaluran bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang mula dikreditkan bermula 17 Februari lalu akan menyaksikan penurunan angka jumlah miskin dan miskin tegar di dalam sistem eKasih,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.
Jannie bertanya mengenai jumlah penerima bantuan SYUKUR fasa
pertama dan inisiatif lain untuk membantu golongan miskin serta miskin tegar yang tercicir dari senarai e-Kasih.
Abidin berkata, setakat 1 April lalu, seramai 68,238 penerima bantuan SYUKUR sudah menerima wang bantuan yang dikreditkan ke akaun menerusi 13 peringkat pembayaran, manakala seramai 3,822 orang penerima sedang dalam proses pengemaskinian data di lapangan.
Katanya, kerajaan negeri terus komited dan berusaha dalam memastikan golongan miskin tegar yang sudah berubah status untuk terus berada di atas garis pendapatan kemiskinan (PGK) bagi miskin tegar yang diukur melalui PGK Makanan iaitu pendapatan di bawah RM1,218 sebulan.
Jelasnya, jumlah itu mengambil kira purata saiz isi rumah sebanyak 4.3 dengan pendapatan perkapita sebanyak RM288 bagi satu ahli isi rumah.
“Kerajaan negeri terus berusaha melaksanakan intervensi bantuan yang bersesuaian berlandaskan kepada lima teras utama intervensi bantuan iaitu intervensi bantuan perumahan, bantuan pendidikan, bantuan pekerjaan, bantuan kebajikan atau kewangan, keusahawan dan latihan,” katanya. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan