Isu bekalan air luar bandar Sabah tanggungjawab Kerajaan Negeri: Timbalan Menteri KPLB Malaysia

Permasalahan air di Sabah termasuk di luar bandar bukan dibawah tanggungjawab Kementerian Luar Bandar (KPLB) Malaysia.

Timbalan KPLB, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara dasarnya penyediaan bekalan air bersih dan terawat adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Air Negeri.

“Ia melibatkan penyediaan sumber air, pembinaan paip utama, pembinaan loji rawatan air serta pengoperasian dan penyelenggaraan.

“Peranan dan matlamat KPLB adalah membantu mempercepatkan liputan dan merapatkan jurang bekalan air bersih dan terawat ke kawasan luar bandar melalui penyambungan paip retikulasi dari paip utama ke rumah-rumah atau akaun baharu di kawasan luar bandar yang belum mendapat bekalan air bersih dan terawat.

“Sehubungan itu, Kementerian mencadangkan masalah ketidakcukupan sumber air dan masalah non revenue water ini dibawa dan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Air Negeri,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian dalam jawapan bertulis hari ini terhadap pertanyaan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Terdahulu pada persidangan yang sama 18 November lalu, Madius memohon penjelasan daripada KPLB langkah penyelesaian menyeluruh terhadap masalah bekalan air di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *