Salah faham pasal tarik kereta, dua kumpulan yang bergaduh di Tawau ditahan polis

Polis telah menahan seramai tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan di Taman Traulsen Jalan Persisiran, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kes pergaduhan dua kumpulan di lokasi kejadian yang tular di media sosial.

Katanya, sebaik video pergaduhan itu tersebar, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah memulakan siasatan dan mengenal pasti mereka yang terlibat kira-kira jam 7 malam hari kejadian.

“Polis bertindak membuat serbuan dan berhasil menangkap tujuh lelaki termasuk dua warga asing berumur 23 hingga 38 tahun di beberapa lokasi untuk membantu siasatan.

“Manakala seorang lagi suspek Jumadi Baba, 35, masih dicari untuk membantu siasatan polis,” katanya dalam laporan Utusan Borneo.

Menurutnya, difahamkan motif pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham semasa mahu menarik kereta sehingga membawa pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

Katanya, pihak polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka juga turut disiasat atas kesalahan kes penyalahgunaan dadah,” katanya.

Peter berkata, orang awam yang menyaksikan pergaduhan itu diminta untuk memberikan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Selain itu, sesiapa yang mengenali Jumadi Baba diminta menghubungi IPD Tawau untuk memberikan maklumat lokasi suspek.

“Kita akan meneruskan siasatan ke atas semua tangkapan berkenaan bermula tarikh mereka direman 23 hingga 25 November depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *