ISTANA NEGERI : DAKWAAN ZULKARNAIN BERNIAT JAHAT

KOTA KINABALU: Istana Negeri Sabah, hari ini, menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan presiden Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Zulkarnain Mahdar yang sebelum ini membuat tuduhan jahat terhadap Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Setiausaha sulit kepada Juhar, Abinan Asli, berkata kenyataan itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat yang jahat.

“Tuan Yang Terutama (TYT) Tun, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah (SD) sepertimana didakwa Zulkarnain.

“Istana negeri juga tidak pernah menerima permintaaan sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi dari pihak Musa Aman untuk berjumpa dengan TYT.

“Rombongan Musa Aman berserta beberapa Adun yang memihak kepadanya telah cuba masuk ke Istana Negeri secara paksa pada 30 Julai lalu kira-kira jam 3.50 petang tanpa membuat permohonan secara rasmi dan telah disekat oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abinan berkata, pihak istana negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan pihak Musa Aman daripada memasuki kawasan Istana, sebaliknya sekatan itu dibuat oleh Polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, Juhar tidak perkenan untuk membenarkan rombongan Musa masuk ke istana selepas mengambil kira suasana tegang yang berlaku pada masa itu, dan memandangkan tiada keperluan bagi rombongan Musa Aman untuk berjumpa dengan beliau berikutan DUN telah dibubarkan pada pagi itu.

“TYT amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi whatsapp yang mengaitkan beliau,” katanya lagi.

Beliau berkata, Juhar turut mengingatkan rakyat di negeri itu supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang tersebar di media sosial.

Setiausaha sulit kepada Juhar, Abinan Asli, berkata, orang ramai juga diminta berhati-hati serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu gugat keharmonian.

“Tuan Yang Terutama (TYT) menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu hati dan mengekalkan kehormonian negeri ini yang hidup aman damai dalam pelbagai
kaum, bangsa dan agama,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *