ISU PSS PERLU DIFAHAMI — EWON

Oleh Willie Jude

KOTA KINABALU: Naib presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick akui Pas Sementara Sabah (PSS) adalah isu paling banyak dimainkan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis namun mempersoalkan sama ada mereka yang membangkitkan isu terbabit benar-benar faham mengenainya atau tidak.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, PSS sebenarnya telah pun dicadangkan sejak beberapa tahun lalu dengan nama Pas Residen Sabah (PRS) cuma kini ia dicadangkan dengan nama lain.

“Hakikatnya juga, ini baru di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan secara rasmi kerana masih banyak lagi siri ‘meja bulat’ penjelasan yang akan dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke seluruh negeri Sabah dan saya pasti jelajah itu nanti bukan semata-mata memberi penjelasan tetapi juga mengambil input-input baru yang difikirkan sesuai.

“Ia termasuk cadangan daripada pemimpin-pemimpin di Sabah untuk kita menambah baik atau memperhalusi cadangan yang telah dikemukakan setakat ini, ” katanya ketika ditemui selepas majlis Makan Malam Krismas dan Tahun Baharu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di sini, malam tadi.

Ewon berkata, beliau sendiri ketika mesyuarat kabinet beberapa hari lalu telah memberikan empat cadangan penambahbaikan dalam PSS dan yakin semua pandangan akan diambil kira oleh KDN sebelum ianya dimuktamadkan kelak.

“Saya juga yakin pada akhirnya kita boleh melihat satu syor penyelesian yang boleh diterima oleh semua khususnya rakyat Sabah.

“Masalah pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diselesaikan, cuma kita perlu faham isu pelarian dan isu PATI adalah dua perkara berbeza dan memerlukan penyelesaian

“Pada saya dokumen yang hanya sekeping kertas dikenali sebagai dokumen IMM13 itu perlu ditukar kepada satu kad yang lebih sistematik dan mempunyai banyak ciri keselamatan seperti kad biometrik.

“Ia memudahkan pengawalan dan pemantauan kepada para pemegangnya kerana pada hari ini kalau pemegang IMM13 mahu keluar masuk Sabah, bagaimana kita tahu rekodnya? Tidak dapat direkodkan kerana ianya sekeping kertas,” katanya.

Sementara itu, Ewon turut memberitahu PSS telah pun dirumuskan dalam Siasatan Diraja (RCI) yang mana syor-syor berkenaan telah diturunkan oleh dua jawatankuasa dalam RCI.

“Antaranya jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Tan Sri (Joseph) Pairin (Kitingan) semasa beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri dan satu lagi yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri serta Ketua Menteri ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

“PRS adalah salah satu cadangan yang telah dipersetujui cuma kini nama itu dicadangkan kepada PSS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan PSS bukanlah satu-satunya isu yang perlu ditangani kerajaan sempena kempen PRK Kimanis ketika ini.

“Banyak lagi isu lain yang telah kita ambil perhatian, kita telah jelaskan dari segi dasar-dasar, wawasan-wawasan serta keputusan-keputusan kerajaan hari ini yang telah kita jelaskan kepada rakyat.

“Sebelum penamaan calon kita telah pun mengadakan banyak program di seluruh Sabah dan semasa kempen ini peluang bagi saya dan kedua pembantu menteri di atas kapasiti pemimpin parti untuk memberi penjelasan mengenai pencapaian selama kita membentuk kerajaan.

“Ada beberapa pencapaian yang kita boleh banggaka, inisiatif baru yang telah kita capai dan telah kita fungsikan kepada bukan hanya pengundi di Kimanis tetapi kepada rakyat jelatah di seluruh Sabah,” katanya.

Tambah Ewon, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRK berdasarkan sambutan yang diterima ketika mereka turun berkempen.

“Secara peribadi, saya melihat Datuk Karim (Bujang) boleh menang dalam PRK Kimanis, ini berasaskan dapatan sepanjang jelajah kempen,” katanya lagi.