Oleh Wartawan BS
BELURAN: Rakyat Sabah perlu terus menjaga keharmonian antara semua kaum dan agama bagi memastikan budaya yang sudah sekian lama terserlah di negeri ini, terus kekal sampai bila-bila.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata, rakyat di negeri ini juga perlu menolak sebarang anasir-anasir jahat terutama pelampau agama yang boleh memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat Sabah.
Beliau berkata, Kenyataanya sebelum ini yang mengatakan PAS (Parti Islam Se Malaysia) lebih bahaya daripada PSS (Pas Sementara Sabah) bukanlah bermaksud untuk menghina mana-mana agama namun rakyat harus menolak pelampau-pelampau agama yang ada dalam parti itu.

“Sebagai contoh ada pemimpin PAS sebelum ini mengatakan menyambut krismas atau memberi ucapan ‘merry christmas’ oleh seorang muslim adalah haram, boleh kah kita orang Sabah menerima kenyataan itu?
“Saya juga banyak saudara-mara yang beragama Islam…. ketika saya masuk di dewan ini tadi, saya bersalaman dengan semua termasuk mereka yang memakai tudung, inilah budaya Sabah sebenar,” katanya ketika berucap sempena majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru UPKO Beluran di Dewan Kampung Nangoh, dekat sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Bahagian UPKO Beluran, Joseph Felix Saang dan pengerusi penganjur yang juga Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beluran, Miming Pornama.

Madius yang juga presiden UPKO berkata, sejak dari dulu lagi semua perayaan disambut meriah oleh semua lapisan masyarakat di Sabah, tanpa mengira kaum dan agama.
“Selepas perayaan krismas, kira-kira dua minggu lagi kita akan sambut pula Tahun Baru Cina, diikuti perayaan-perayaan lain termasuk Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan beberapa lagi, semuanya kita sambut bersama.
“Inilah identiti kita sebagai orang Sabah dan kita harus kekalkan identiti ini, biar kita menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia, kita tunjukkan kepada semua perpaduan sebenar wujud di Borneo, khususnya di negeri bawah bayu,” katanya lagi.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong