KOTA KINABALU: Ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menduduki peperiksaan itu kerana bekerja atau berkahwin perlu dilihat sebagai isu yang serius.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohd Arif Sakaran, berkata ia kerana perkara itu membabitkan masa depan pelajar.
Katanya, perkara itu tidak harus dibiarkan kerana dibimbangi menjadi ikutan pelajar lain yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun berikutnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan libat urus dengan ibu bapa sebagai langkah menangani isu berkenaan.
“Isu penting berkaitan dengan SPM ini seperti dijelaskan baru-baru ini iaitu ketidakhadiran pelajar menduduki peperiksaan berkenaan kerana ada yang bekerja, berkahwin dan sebagainya.

“Mereka ini kebanyakannya adalah anak-anak golongan B40 yang berdepan masalah kewangan, jadi mereka lebih berminat untuk bekerja atau berkahwin awal berbanding ke sekolah.
“Perkara ini tidak boleh terus dibiarkan, sebaliknya PIBG di setiap sekolah perlu bertindak proaktif mendekati pelajar dan ibu bapa yang bermasalah bagi mengingatkan pentingnya SPM untuk masa depan mereka,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Likas, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, sebeluk ini mendedahkan seramai 908 pelajar tidak hadir menduduki peperiksaan SPM di Sabah pada tahun lalu.
Beliau menjelaskan, antara sebabnya ialah kerana terpaksa bekerja menyara kehidupan dan sudah berkahwin.
Mohd Arif berkata, PIBG dan pihaknya sendiri akan mencari pendekatan sesuai mengingatkan ibu bapa agar mengutamakan pendidikan dan memastikan anak mereka tidak tercicir daripada menduduki SPM.
“Walaupun semua tahu pentingnya pendidikan, tapi mungkin ada ibu bapa yang masih melihat perkara itu tidak penting, jadi kita perlu ingatkan mereka dan membantu apa yang perlu.
“Kita kena menjelaskan kepada mereka bahawa dengan adanya pendidikan, anak-anak boleh bekerja dan memperoleh pendapatan yang lebih baik bagi membantu keluarga pada masa depan.
Mengenai pelajar yang meninggalkan sekolah kerana berkahwin pada usia muda, Mohd Arif berkata perkara itu juga perlu diambil berat demi masa depan generasi muda.
Katanya, sebagai generasi pelapis kepemimpinan negara, pelajar perlu dibimbing dengan baik supaya tidak mengambil langkah singkat yang mengikut nafsu hingga meninggalkan alam persekolahan untuk berkahwin. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ