JAFFARI KELUAR PKR

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Jaffari Waliam mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Libaran membuat keputusan itu untuk menjadi bebas bersama 3,144 ahli membabitkan 23 daripada 35 ranting di cabang berkenaan.

Jaffari turut menegaskan tetap menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal biarpun menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam sidang media, Jaffari memberitahu, beliau membuat keputusan itu sejak tiga hari lalu susulan hilang keyakinan terhadap presiden parti yang terbukti gagal menguruskan parti dan hanya mementingkan kelompok tertantu serta meminggirkan yang lain terutama pejuang asal yang berkorban sepanjang 20 tahun.

Katanya, pemimpin parti juga gagal menyatupadukan ahli parti, sebaliknya sibuk dengan cita-cita peribadi untuk menjadi perdan menteri tanpa agenda untuk kebaikan akar umbi.

“Pemilihan parti yang lalu penuh caca merba dan tidak telus dengan tujuan memberi kelebihan kepada segelintir calon ‘team’ presiden.

“Saya sendiri sebagai YB dilantik ditanya, macam mahu bantu mereka (rakyat). Macam mana mahu jawab kalau parti kita pun bermasalah,” katanya di Pejabat PKR Cabang Libaran di sini, hari ini.

Jaffari berkata, kepimpinan parti di cabang itu juga akan cacat dan terpaksa dibubarkan kerana tidak mencukupi anggota untuk membentuk cabang.

Katanya, beliau juga sedia maklum Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan kumpulannya menyertai BERSATU, namun beliau memilih menjadi wakil bebas.

Jaffari juga berjanji akan terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).