KOTA KINABALU: Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri
Ini kerana baginda Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.
Kenyataan itu dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.
Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan mahu membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.
Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Bersatu, yang tidak lagi bersama gabungan itu, mencalonkan presidennya Muhyiddin Yassin manakala Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.
Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen.
Bagaimanapun, dengan sokongan itu, beliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.
Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataannya sebelum ini menolak mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius