JAJARAN PAN BORNEO DI BERUNGIS DAN KUDAT TIDAK TERPUTUS JIKA PERUNTUKAN MENCUKUPI

KUALA LUMPUR: Jajaran Lebuhraya Pan Borneo khususnya di kawasan Berungis dan jalan menuju ke Kudat tidak akan terputus sekiranya peruntukan mencukupi kelak.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO -Tuaran) pada sesi pertanyaan lisan di Sidang Dewan Rakyat, di sini.  

Dalam soalannya, Madius bertanya sama ada Fadillah di bawah kementeriannya bercadang memastikan agar jajaran lebuhraya Pan Borneo yang terputus-putus dipastikan bersambung dan berjalan dengan lancar.

Fadillah memaklumkan perancangan sebelum ini sebenarnya merangkumi tiga fasa.

“Akan tetapi yang dilaksanakan hanya fasa pertama bergantung dengan peruntukan. Ia melibatkan sebanyak 15 projek.

“Sebanyak 20 projek lagi belum ada peruntukan dan kita akan mengusahakan untuk Rancangan Malaysia Ke-12.

“Bila semua peruntukan dapat, insya-Allah keseluruhannya akan dapat kita laksanakan secara berfasa termasuklah jajaran ke Kudat,” katanya. -https://beritasabah.com