PEMBELIAN VAKSIN COVID-19 DIPUTUSKAN SELEPAS LAPORAN UJIAN KLINIKAL: NOOR HISHAM

PUTRAJAYA: Sebarang pembelian vaksin koronavirus  (Covid-19) akan diputuskan selepas mendapat laporan ujian klinikal kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bagi menganalisis keselamatan serta keberkesanannya, kementerian berharap untuk mendapatkan laporan ujian klinikal fasa ketiga bagi vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh Pfizer Inc dan BioNTech SE.

“Pencarian vaksin sedang giat dilaksanakan, sehingga kini ada 11 vaksin yang berada dalam ujian klinikal fasa 3, namun kami belum membaca laporannya.

“Laporan ini penting untuk tujuan kami menganalisis bagi melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi melaporkan perkembangan semasa pandemik Covid-19, di sini pada Selasa.

Noor Hisham juga berkata akan ada cabaran logistik dan penyimpanan yang perlu diatasi jika Malaysia memutuskan untuk mendapatkan vaksin.

“Jelas ada banyak masalah logistik dan sebenarnya ada rantai dingin (rantaian tindakan dan peralatan yang diterapkan untuk mengekalkan produk).

“Kita perlu menyediakan semua infrastruktur dan alat suhu rendah sebelum mendapatkan vaksin,” katanya merujuk pada laporan bahawa vaksin harus disimpan pada suhu -70 darjah selsius atau di bawah.

Walaupun begitu Noor Hisham berkata beliau masih dalam dilema mengenai vaksin Covid-19 kerana vaksin denggi sebelum ini yang terbukti mempunyai masalah keselamatan dalam ujian klinikal fasa 3.  Terdahulu, Pfizer Inc mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkannya berjaya mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus