JALAN GELAP, BELUM SIAP PUNCA KEMALANGAN

Oleh Wartawan BS
3 Februari 2020

PAPAR: Keadaan jalan yang dalam masih pembinaan serta tiada lampu jalan dipercayai antara punca kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Kemalangan jam 8.30 malam itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero Sport.

Tiga lelaki maut daripada kenderaan Ford Ranger dikenali sebagai Idus@Marius Gantak, 64, Muah Kising, 60, Jebol Godog, 61.

Mangsa parah Norafny Bibas, 37, Adi Peter, 36 dan seorang lagi mangsa parah hanya dikenali sebagai John.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati Ford Ranger dinaiki lima lelaki dari arah Kampung Tanaki ke Kampung Talantang, Bongawan manakala Mitsubishi Pajero Sport dinaiki dua individu dari arah Keningau ke Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung hingga menyebabkan pemandu dan dua penumpang Ford Ranger maut di tempat kejadian manakala dua penumpang kenderaan itu parah dan cedera ringan.

“Pemandu dan Mitsubishi Pajero Sport juga parah. Mangsa yang parah dan cedera ringan kemudian dikejarkan ke Hospital Papar. Tiga mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, siasatan awal mendapati kawasan tempat kejadian adalah gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan dan tempat kejadian masih dalam pembinaan jalan raya Pan Borneo.

“Pengguna jalan raya masih keliru dengan jalan raya yang belum siap sepenuhnya walaupun diberi akses kepada pengguna jalan raya.

“Faktor lain yang didapati kedua-dua kenderaan dipercayai memandu dengan kelajuan yang tinggi hingga gagal untuk mengelak dan kesan remukan pada kedua-dua kenderaan adalah teruk akibat pertembungan yang kuat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.