CHINA TARIK BALIK NASIHAT PERJALANAN KE SABAH

SANDAKAN: Kedutaan China menarik semula nasihat perjalanan kepada rakyatnya yang berkunjung ke negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan di Lapangan Terbang, di sini, hari ini.

Mohd Shafie Apdal berkata, beliau mendapat berita itu hari ini selepas berhubung dengan duta negara itu semalam untuk berbincang kes tahanan pelancong warga China di Tawau.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu agar Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memberi taklimat mengenai tahap keselamatan negeri ini kepada kedutaan negara lain termasuk Amerika Syarikat, China dan Korea.

“Saya dimaklumkan pagi ini bahawa kerajaan China sudah tarik balik ‘advisory note’ dan kawasan ini selamat untuk pelancong China.

“Kita perlu pastikan keselamatan terkawal untuk pelancong, untuk membolehkan ekonomi negeri ini dibangunkan kerana apabila keselamatan dan kemudahan kita tingkatkan, pelancong akan datang, nelayan dan petani pun boleh ‘survive’,” katanya.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Mengenai projek itu, Mohd Shafie berkata, ia antara janji kerajaan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan bukan saja membantu penumpang yang datang ke daerah ini, malahan sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini.

Katanya, tahun lalu, Lapangan Terbang Sandakan merekodkan sejumlah 1.08 juta penumpang iaitu pertambahan sebanyak 14 peratus berbanding 2018.

“Di Kota Kinabalu dan Tawau juga melepasi sasaran dan usaha ini perlu ditingkatkan bukan saja untuk mengembangkan sektor pelancongan, malah beri pendapatan kepada negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *