KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mendesak pihak kerajaan dan agensi pelaksana untuk mempercepatkan pembinaan projek menaik taraf Jambatan Sungai Bawang, KM2.00 Jalan Tamparuli-Togop.
Menurutnya projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu disahkan mengalami kelewatan hampir tiga bulan dari tarikh penyiapan sebenar.
“Jambatan ini penting untuk laluan menuju ke empat buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Togop, SK Lingga Baru, SK Bawang dan SK Rangalau Lama.
“Ia juga merupakan laluan utama bagi penduduk tujuh buah kampung iaitu Kampung Bawang, Kiwoi,Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu dalam pertanyaan Lisan di Sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Madius meminta KKDW menyatakan status pembinaan projek menaik taraf jambatan tersebut yang sepatutnya dijadualkan siap pada September 2025.
Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis memaklumkan, projek menaik taraf jambatan konkrit sepanjang 20 meter dan selebar 10 meter telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP2, RMK-12) Tahun 2024, dengan kos sebanyak RM2.35 juta.
“Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. Sehingga 30 Jun 2025, kemajuan fizikal projek hanyalah 47.15%, jauh ketinggalan berbanding jadual asal iaitu 63.06 peratus, dengan kelewatan sebanyak 15.91 peratus atau bersamaan 95 hari.
“Antara punca kelewatan utama yang dimaklumkan adalah keadaan cuaca buruk dan banjir yang menyebabkan jambatan sementara roboh dan hanyut beberapa kali,” jelas KKDW.
Walau bagaiman kementerian tersebut memaklumkan, JKR Sabah telah mengambil tindakan meluluskan lanjutan masa (EOT) kepada kontraktor yang terlibat.
“Tarikh siap baharu projek ini kini dijadualkan pada 14 November 2025,” ujar kementerian itu lagi.

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional