Madius Saran Tubuhkan Majlis Pertanian, Perikanan dan Penternakan Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2025 – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Majlis Pertanian Kebangsaan, Majlis Perikanan Kebangsaan dan Majlis Penternakan Kebangsaan.

Menurutnya, tiga majlis kebangsaan baharu itu perlu bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan program berkaitan tiga sektor penting itu di seluruh negara.

“Penubuhan majlis tersebut adalah perlu bagi menyelaraskan perundangan, strategi, bajet, program dan sistem penyampaian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga sebagai usaha konkrit menyelesaikan isu ketidakseimbangan pembangunan wilayah, khususnya di Sabah yang mempunyai potensi besar tetapi sering ketinggalan dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Madius menegaskan, Sabah mempunyai autonomi dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan, namun ketidakseragaman dasar dan pelaksanaan di peringkat persekutuan sering menyebabkan agensi negeri terpaksa menanggung kos pembangunan tanpa sokongan kewangan yang sewajarnya.

Sebagai contoh, katanya, sektor perikanan Sabah hanya mempunyai satu kemudahan pendaratan ikan yang dibina dengan bajet negeri.

“Sedangkan di Semenanjung terdapat 42 kemudahan, selain lima di Sarawak dan satu di Labuan yang dibangunkan oleh agensi pusat seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Untuk makluman, Sabah kini merupakan pengeluar ikan terbesar di Malaysia, menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara, namun kekangan peruntukan menyebabkan produktiviti masih rendah.

“Bayangkan potensi Sabah jika diberikan sokongan bajet yang sepatutnya,” jelasnya.
Dalam sektor penternakan pula, Sabah telah berjaya mencapai tahap sara diri bagi telur dan susu segar, namun masih rendah bagi daging ruminan.

Dengan sumber tanah yang luas dan sesuai, katanya, Sabah berpotensi meningkatkan pengeluaran jika diberi sokongan strategik dan bajet yang mencukupi.

Beliau turut menyentuh tentang cabaran dalam sektor pertanian, khususnya tanaman padi, di mana Sabah masih kekurangan kemudahan pengairan, saliran moden dan infrastruktur pemprosesan, sekali gus menyumbang kepada produktiviti yang rendah berbanding Semenanjung.

“Cadangan penubuhan tiga majlis kebangsaan ini pernah dikemukakan dalam Manifesto Pakatan Harapan PRU15, dan kini adalah masa terbaik untuk Kerajaan menunaikan komitmen tersebut demi menjamin keterjaminan makanan negara dan kemakmuran wilayah secara adil dan menyeluruh,” jelas Madius lagi.