JAMILAH ISYTIHAR KELUAR PBS

Oleh Wartawan BS
3 Februari 2020

KOTA KINABALU : Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jamilah Sulaiman, hari ini, mengumumkan keluar daripada parti yang disertainya sejak Iebih dari 33 tahun berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS N.28 Sindumin turut melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Katanya, beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di bahagian Sipitang.

“Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS”

“Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili.

“Beliau seorang pemimpin yang tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamilah merupakan wanita pertama dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.

Beliau dipilih semula (tanpa ditanding) sebagai salah seorang daripada 3 Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan yang ke-33 yang berlangsung pada November 2018.

Penyandang Iain ialah Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

“Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB. Presiden dan “gengnya” dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja.

“Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun.

“Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya”, tambah Jamilah.

Sementara itu, 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Bahagian Sipitang turut bersama Jamilah mengisytiharkan keluar dari PBS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *