Jangan bebankan masa hadapan rakyat dengan perjanjian tidak telus – Ewon

PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) , Datuk Ewon Benedick menegaskan agar kerajaan negeri tidak mengulangi kesilapan meneruskan perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) seperti yang berlaku dengan perjanjian Akta Pembangunan Petroleum (PDA), kerana ia menimbulkan banyak masalah kepada generasi Sabah akan datang.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya belajar daripada kesalahan lepas yang mana Sabah kehilangan peluang untuk membangun industri minyak dan gas sendiri disebabkan oleh perjanjian PDA yang menyerahkan hak ekslusif pembangunan gas dan minyak kepada Petronas.

Beliau juga menjelaskan punca rakyat Sabah dan penggubal undang-undang negeri masih menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah disebabkan perjanjian itu tidak dilaksanakan dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai isu yang belum diselesaikan.

“Perjanjian NCA seharusnya dibuat dengan telus memandangkan ia satu perkara yang sangat penting kerana melibatkan kawasan yang besar dan memakan tempoh masa yang panjang untuk dilaksanakan.

“Jangan ulangi kesilapan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Taklimat Khas mengenai Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) di Pusat Latihan Pacos, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata bahawa Peguam Besar Negeri dan Pengarah Perhutanan secara terbuka memberi gambaran seolah-olah dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri tidak ada sesi libat urus.

“Peguam Besar Negeri juga menyatakan kebimbangannya terhadap NCA dengan menulis surat secara terbuka mengenai beberapa perkara berkaitan perjanjian.

“Oleh itu, kita mesti mengendalikan perkara ini dengan betul dan mengutamakan ketelusan dalam memeterai perjanjian bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham antara pemimpin hari ini dengan generasi akan datang,”katanya.

Menurut Ewon, sekiranya Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan telus berkaitan NCA, ia boleh dimulakan dengan mengadakan sesi libat urus bersama semua penggubal undang-undang Negeri.

“Sebelumnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas, saya telah bertanya sama ada konsultasi atau perundingan telah dibuat dengan semua pihak berkepentingan terutamanya orang asal di Sabah yang akan terkesan dan dalam jawapan itu, diberi jaminan akan ada perundingan.

“Tetapi di kawasan saya sendiri yang berkemungkinan besar terlibat dalam perjanjian ini belum pun dipanggil untuk sesi konsultasi, jadi kalau dia (Jeffrey) memberi jaminan ada ketelusan dalam hal ini, ia harus dimulakan dengan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.