KOTA KINABALU, 28 Feb – Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentang pada sesi sidang Dewan Rakyat pada Mac ini perlu diteruskan berdasarkan persetujuan dalam memorandum kerjasama (MoU) Kerajaaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkata kerajaan dianggap melanggar terma perjanjian sekiranya RUU itu gagal dibentangkan dan berkemungkinan PH akan menarik diri dari MoU.
Bagaimanapun, sehingga hari ini kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum memaklumkan keputusan kepada PH sama ada RUU tersebut akan dibentangkan ataupun tidak.
“Kita (PH) belum terima keputusan kerajaan tentang status terkini RUU. Sekiranya ia tidak dibahas pada sesi ini, maka kerajaan melanggar terma persefahaman.
“Ini bermakna PH mempunyai pilihan untuk membatalkan persefahaman tersebut,” katanya.
Wong Chen berkata, sekiranya RUU itu diluluskan pasti akan meningkatkan keterujaan rakyat untuk membuang undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 berbanding kesuraman keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak sebelum ini.
“Kalau diluluskan saya rasa ramai rakyat akan mengundi.
“Satu faktor besar ramai rakyat tak nak mengundi adalah kerana gejala lompat parti selepas pilihan raya,” jelas Wong.
Ahli politik Kerajaan BN seolah keberatan untuk menyegerakan pembentangan RUU Anti Lompat Parti berdasarkan jawapan yang diberikan mereka kepada media.
Dalih yang sering digunakan adalah definisi tepat mengenai tindakan melompat parti yang tidak dapat dipersetujui bersama.
Bagi pihak PH, isu definisi ‘melompat’ tidak akan timbul kerana secara umumnya mengetahui tindakan tersebut sekiranya dilakukan maka kerajaan akan tumbang.
More Stories
Sambutan Hari Malaysia di Tugu Peringatan Pekan Inanam penuh dengan pengisian patriotik
Persiapan Hari Malaysia 2024 berjalan lancar
MUIS serah sumbangan kepada Masjid Daerah Tungku