Jangan jadi tali barut pengganas – Jauteh Dikun

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua pihak di negeri ini termasuk anggota polis sendiri dan pegawai kerajaan supaya tidak menjadi tali barut pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata semua pihak yang terbabit dalam usaha menjaga keselamatan memainkan peranan penting dalam menjamin keamanan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, katanya kerjasama semua pihak ke arah membanteras ancaman terhadap keselamatan negara perlu dikukuhkan dari semasa ke semasa.

“Sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, saya ingin mengingatkan termasuk anggota PDRM sendiri dan pegawai kerajaan agar jangan menjadi tali barut kepada pihak pengganas.

“Saya memberi jaminan bahawa pihak keselamatan terutama sekali PDRM akan sentiasa berwaspada terutama sekali di sempadan dan perairan agar kumpulan bersenjata tidak menyusup masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Ops Daulat Tanduo ‘Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am: Membanteras Pengganas dan 5th Column di Kampung Tanduo Lahad Datu’, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Buku yang diterbitkan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Arkib Negeri Sabah itu dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jauteh berkata, selain PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi lain seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut memainkan peranan dalam mengawal sempadan daripada ancaman luar.

Jelasnya, kerjasama daripada masyarakat tempatan juga sangat penting dalam menyokong pasukan keselamatan dengan memberikan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan atau ancaman keselamatan.

“Media juga memainkan peranan penting dalam memberitahu masyarakat mengenai isu-isu keselamatan serta perkembangan semasa yang berkaitan dengan keamanan negara.

“Perkongsian maklumat antara agensi keselamatan juga amat penting untuk meningkatkan keberkesanan operasi mereka. Selain itu, kerajaan terutama kerajaan Pusat turut bertanggungjawab menyediakan sumber mencukupi kepada pasukan keselamatan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya.

Mengenai buku setebal 1,312 muka surat itu, Jauteh berkata, ia adalah inisiatif yang dilaksanakan pegawai PGA Briged Sabah dan mula dibuat pada tahun lalu.

Beliau berkata, penerbitannya mengambil masa lebih lapan bulan termasuk pendokumentasian yang dibuat berdasarkan cerita sebenar dengan mengambil saksi, pegawai dan anggota yang terbabit dalam Ops Daulat.

“Tujuannya supaya kita mengetahui apa sebenarnya telah berlaku. Kita tidak mahu mendengar dari sebelah pihak atau mana-mana pihak tertentu saja, tapi ini adalah ‘real’ daripada saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada 2013 mencetuskan ketegangan dan ancaman keselamatan di negeri ini terutama di Pantai Timur Sabah.

Seramai 12 anggota pasukan keselamatan negara terkorban akibat serangan hendap pengganas dan ketika operasi Ops Daulat memerangi pengganas Sulu termasuk lapan anggota PDRM yang terdiri daripada pelbagai
unit.

Susulan insiden itu, pihak keselamatan mencadangkan agar pengurusan keselamatan dan pertahanan di Pantai Timur Sabah diwujudkan dan hasilnya tertubuhlah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) hingga ke hari ini. – Info X