KOTA KINABALU: Pembinaan dua kompleks baharu Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), masing-masing di pantai timur dan pedalaman Sabah perlu dipercepatkan.
Perkara itu diluahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejajar usaha ke arah mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di negeri ini.
Beliau berkata, kedudukan dua batalion baharu PGA itu, iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak, penting bagi menangani sebarang ancaman di kawasan pantai timur dan pedalaman Sabah.
“Sabah adalah negeri yang luas dan dikelilingi tiga lautan – Laut China Selatan di barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Sulawesi di timur, manakala di sebelah selatan, Sabah bersempadan dengan Indonesia.
“Oleh itu, tambahan dua kompleks PGA ini adalah perlu bukan saja untuk menghentikan gerakan subversif tetapi juga menghalang kegiatan penyeludupan bahan api, kayu balak, dadah dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran buku mengenai Ops Daulat Tanduo di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Jelasnya, tambahan dua batalion baharu itu mengukuhkan lagi kawalan dan kedudukan PGA di Sabah yang ketika ini diperkuatkan lima batalion sedia ada iaitu di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran. – Info X
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026