NABAWAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mengingatkan penduduk luar bandar supaya tidak menjual tanah sebagai sumber kekayaan ‘segera’.
Beliau berkata, sebaliknya penduduk kampung perlu mengusahakan sendiri tanah yang diwarisi dari nenek moyang dengan pelbagai aktiviti pertanian yang boleh mendatangkan keuntungan secara berkekalan.
“Sikap sesetengah pihak yang suka menjual tanah untuk mengaut keuntungan segera bukan sahaja merugikan anak cucu mereka tetapi juga menyebabkan mereka kehilangan harta pusaka yang amat berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Program Pantas Mukim Sepulut di Perkarangan Rumah Pemaju Mukim Sepulut, Kg. Tumura Sepulut, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah Datuk Safar Untong, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Ferdian Gan, Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam dan Pengerusi Pelaksana Anab Andahang serta pemimpin setempat.
Program Khas Anak Negeri Sabah (Pantas) yang julung kalinya dilaksanakan di Mukim Sepulut Nabawan itu melibatkan 11 kampung iaitu Kg.Tumura, Kg.Panabaan, Kg.Lotong, Kg.Kambubunut, Kg.Balaron, Kg. Manduluh, Kg.Padang, Kg. Kuala Panawan, Kg.Pulungan, Balaron Borook dan Kg.Kahulangu.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada JTU Sabah atas komitmen berterusan meneruskan dan memperluaskan Program Pantas di seluruh negeri.
“Inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya penduduk luar bandar agar impian dan penantian mereka selama puluhan tahun untuk memiliki geran tanah akan tercapai.
“Semua ini terlaksana atas komitmen JTU Sabah dan kerjasama penduduk kampung terbabit,” katanya.
Sementara itu, Safar berkata, sejak tahun 2012 hingga 2018 kerajaan persekutuan telah menyalurkan peruntukan khas untuk Program Pengukuran Tanah NCR di negeri ini.
“Pada tahun 2018 peruntukan sebanyak RM15 juta telah disalurkan dan tahun ini sebanyak RM20 juta akan disalurkan oleh kerajaan persekutuan khusus untuk Program Pantas,” katanya.
Safar berkata Program Pantas bertujuan membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur menyediakan perkhidmatan terbaik bagi mencapai wawasan kerajaan merakyatkan perkhidmatan.
“Pasukan Pantas ini terdiri daripada 100 kakitangan yang akan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain mengikut jadual untuk mendekati rakyat dan mengatasi kesulitan anak negeri datang berurusan di pejabat tanah dan membolehkan pihak jabatan menyebar informasi mengenai dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata,sebanyak 124 kampung melibatkan 21 daerah seluruh Sabah telah dijalankan pengukuran Pantas sejak tahun 2012 dengan keluasan 34, 636.36 hektar dan 20,233 lot.
“Sehingga kini sebanyak 5, 610 deraf geran telah dikeluarkan dan pihak JTU masih lagi giat mencetak deraf geran,” katanya.
Katanya, Program Pantas Mukim Sepulut adalah program kedua di daerah Nabawan selepas Pensiangan yang dilancarkan pada Oktober 2016.
“Bagi kawasan Pensiangan sebanyak 1,584 lot telah diukur berkeluasan 1,959.174 hektar dan 222 deraf geran telah dicetak dan diserahkan kepada pemohon.
“Bagi Mukim Sepulut, arahan ukur telah dikeluarkan pada 27 September tahun lalu untuk lima buah kampung berkeluasan kira-kira 817 hektar di Kg.Pinabaan, Kg. Tumura, Kg.Balaron, Kg.Lotong dan Kg.Lunut Perancangan.
“Bagaimanapun, saya ingin mengumumkan bahawa pengukuran ini akan melibatkan 11 kampung termasuk lima kampung yang dikenalpasti sebelum ini,” katanya.


More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal