50 kampung Sejahtera sejak 2014

Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk Kampung Lahanas

KOTA BELUD: Kementerian Pambangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan meneruskan Program Kampung Sejahtera untuk membantu membangunkan kampung-kampung luar bandar dan terpencil yang dikategorikan kampung mundur.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sejak program itu dimulakan pada 2014 sebanyak 50 buah kampung di seluruh Sabah dipilih untuk dimasukkan dalam program Kampung Sejahtera dan memberi pelbagai manfaat kepada ribuan masyarakat kampung.

“Antara daerah yang terlibat dalam program ini ialah Pitas, Paitan, Kota Marudu, Sipitang, Kemabong, Tenom, Nabawan, Pagalungan, Tongod, Sandakan, Kinabatangan, Tambunan, Ranau, Papar, Kuala Penyu dan Tungku.

“Kampung Lahanas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian adalah kampung ketiga di daerah Kota Belud dimasukkan dalam program ini selepas Kg. Song Song (DUN Usukan) dan Kg. Mandawang (DUN Tampasuk).

“KPLB juga telah mengenalpasti 10 lagi kampung untuk dijadikan Kampung Sejahtera pada tahun ini dan tahun depan. Antara di daerah Kota Belud dan Paitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Bengkel Pelan Tindakan Kampung Sejahtera anjuran KPLB Sabah, Institut Kemajuan Desa (INFRA) Sabah dan Pejabat Daerah Kota Belud, di Kampung Lahanas, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pangiran Hj. Masdal, Setiusaha Rendah (Sosio Ekonomi) KPLB Sabah Serbini Jadin, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Kota Belud Norsafi Dukah dan pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pejabat daerah memilih kampung berdasarkan kampung yang mundur dan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur asas dan kurang kegiatan ekonomi.

“Objektif pelaksanaan Kampung ini adalah membangunkan kampung yang masih mundur dengan melibatkan pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan peningkatan taraf serta kualiti hidup penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berharap dengan pemilihan Kampung Lahanas lebih kurang 30 kilometer dari pekan Kota Belud sebagai Kampung Sejahtera, akan mencetuskan penyelesaian kepada sebahagian daripada masalah yang dihadapi penduduk kampung terutamanya kemudahan jalan raya yang lebih selesa.

“Program Kampung Sejahtera merupakan inisiatif KPLB Sabah dengan tujuan untuk menyampaikan kemudahan-kemudahan infrastuktur asas berkaitan dan program-program ekonomi desa di kampung-kampung terpilih,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan peruntukan touchpoints RM5,000 kepada Tabung Pendidikan Kg Lahanas untuk membiayai sebahagian kos pengangkutan anak-anak ke tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Dalam pada itu, Ewon meluangkan masa bersama penduduk kampung Lahanas meninjau kawasan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pelancongan dan jalan raya yang perlu diberi perhatian.

Ewon bersama penduduk kampung meluangkan masa meninjau kawasan kampung itu.