Kerajaan komited bangunkan sektor perindustrian: Madius Tangau

Tangau bersama Ketua Menteri melawat Pameran anjuran MTI di Bangunan DUN Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menggesa semua lapisan masyarakat agar berkerjasama memajukan industri Sabah.

Bagi meningkatkan sumbangan sektor industri kepada GDP daripada 7.3% 2018 ke 35% menjelang tahun 2030 bukan sesuatu yang mudah kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam ucapan penggulungan usul terima kasih atas ucapan dasar kerajaan disampaikan oleh Yang DiPertua Negeri, bagi kementeriannya baru-baru ini.

“Kita mempunyai banyak isu yang menjadi penyebab utama kekurangan pelabur datang melabur Ke Sabah. Ianya termasuklah masalah kekurangan kemudahan infrastruktur dan prasarana yang melibatkan hal bekalan air, bekalan elektrik dan logistik, tanah, pelabuhan dan perlesenan,”katanya.

Madius menegaskan masalah itu masih berlarutan sehingga kini sejak daripada kerajaan-kerajaan lalu dan ianya tidak dapat diselesaikan hanya dengan menambah lagi blueprint atau pelan-pelan sedia ada semata-mata.

“Kita memerlukan kerjasama dan komitmen penuh semua agensi yang terlibat khususnya kepimpinan negeri, kementerian-kementerian lain, dan hingga peringkat akar umbi iaitu rakyat sendiri untuk merancang dan menjalankan pembangunan industri ini,”tambahnya.

Madius mengatakan berdasarkan rekod kementerian Perdagangan dan Perindustrian, pada kerajaan lalu taman-taman perindustrian tidak mempunyai kerjasama yang erat antara kepimpinan kerajaan negeri until membangunkan sektor industri.

“Hanya pegawai-pegawai POIC dan KKIP sendiri yang bergerak untuk cuba menyelesaikan sebarang isu industri mereka khususnya yang melibatkan kilang dan kemudahan infrastruktur lain. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa ke luar negara untuk mencari pelabur,” ujarnya.

“Sejak bulan Mei 2018 hingga kini, terdapat 23 buah syarikat dengan nilai pelaburan RM 518.65 juta yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 835 peluang,” kata Madius yang juga menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Menurutnya, pencapaian itu telah dicapai melalui komitmen dan kesungguhan semua pihak. Justeru, Madius sangat berharap agar semua pihak terutamanya barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan dapat memberikan kerjasama dan komitmen penuh bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi rakyat meningkatkan ekonomi melalui perindustrian yang lestari. (By Janecarr Yado)