Janji GRS Selesaikan Masalah PTI Dalam Tempoh 100 Hari Selepas PRN satu pembohongan: UPKO

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata janji pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyelesaikan masalah pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dalam tempoh 100 hari selepas pilihan raya negeri yang lepas merupakan satu pembohongan.

“Jika sebulan ada 30 hari, maka 100 hari itu dalam sekitar 3 bulan lebih. Sekarang ini, PRN Sabah sudah lebih 12 bulan berlalu.

“Namun bila kita pergi ke Bandaraya Kota Kinabalu misalnya. Masih ramai golongan ini yang kesana dan kemari. Ada juga yang lebih agresif, berani mengetuk-mengetuk cermin kereta untuk meminta minta duit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Luar Biasa UPKO di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini hari ini.

Madius berkata setakat ini ‘tiada tanda-tanda yang masalah PTI di negeri ini akan diselesaikan secara tuntas.

“Apa sudah jadi? Adakah ini sekadar janji Tarang Bulan?,” katanya.

Beliau berkata janji-janji seumpama itu bersama-sama tuduhan dan fitnah yang mengatakan UPKO bersekongkol menternak PTI adalah diantara senjata politik pihak Perikatan Nasional dan GRS yang telah menyebabkan para pengundi terkeliru semasa pilihan raya.

“Kini penyesalan sudah mula kedengaran diakar umbi. Ada yang merasa tertipu, karena rupa-rupanya kesemua itu adalah fitnah, dan Janji-janji GRS adalah pembohongan semata-mata.

“Saya juga masih ingat dengan jelas, bahawa seorang Menteri Perikatan Nasional telah membuat kenyataan untuk menyelesaikan masalah pelaksanaan MA63 dalam tempoh 6 bulan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri.

“Namun sudah 3 kali tempoh 6 bulan itu berlalu. Dan kini sudah pun memasuki bulan yang ke-18. Tapi apa yang kita dengar, menteri ini hanya mempertahankan Malaya bila ditanya dan dituntut sesuatu. Ya, kita bukan anti Malaya, tetapi kita menuntut janji yang dibuat,” katanya,

Dalam hal ini, UPKO menuntut agar sejarah Perjanjian Malaysia 1963 wajib dipelajari dalam sistem persekolahan di Malaysia.