Penyelidik gesa kerajaan siap sedia berdepan senario terburuk varian Omicron

Seorang penyelidik berkata, Malaysia dan dunia perlu bersedia menghadapi kemungkinan terburuk dalam berdepan varian baharu Omicron menggunakan kawalan sempadan dan sekatan perjalanan tidak popular sehingga mempunyai lebih banyak maklumat berhubung strain baharu itu.

Dr Lam Sai Kit, perunding penyelidikan di Universiti Malaya dan Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, berkata kerajaan boleh menyesuaikan respons mereka apabila mempunyai lebih banyak maklumat dalam beberapa minggu akan datang.

“Pada masa sama, Malaysia dan dunia perlu bersedia menghadapi senario terburuk,” katanya, dengan langkah seperti larangan perjalanan, meningkatkan kawalan sempadan dan penjujukan genom, khasnya untuk pelancong asing dari negara terjejas.

“Untuk melaksanakan semula sebarang bentuk larangan perjalanan bukan langkah popular dan sudah tentu akan merosakkan lagi ekonomi dunia. Tetapi, apa lagi yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya memperlahankan varian itu daripada menular ke luar Afrika Selatan?

Dr Lam Sai Kit.

“Kita perlu bertindak proaktif dalam melindungi sempadan kita dan satu-satunya cara ialah melaksanakan sekatan perjalanan, tidak kira betapa tidak popularnya langkah ini.”

Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan varian Omicron sebagai varian membimbangkan – kategori paling mengancam untuk varian Covid-19. Ia dikesan sebahagian besarnya di Afrika Selatan, tetapi turut ditemui di Hong Kong, Belgium dan Israel.

Lam berkata, “kita tidak tahu sejauh mana keterukan Omicron” dan sama ada ujian PCR serta Antigen Rapid Test (ARTs) masih berguna untuk mengesannya, atau jika vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap Omicron.

Tetapi, langkah semasa seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, kebersihan tangan, mengelakkan ruang sesak dan meningkatkan pengudaraan di ruang dalaman masih berguna.

“Vaksin dan dos penggalak masih sangat disyorkan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *