KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan gembira dan bersetuju dengan penggunaan hanya satu dokumen iaitu IMM13 bagi warga asing Filipina yang sekarang memegang kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, Ahli Parlimen Keningau itu berkata, langkah yang diumumkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu adalah langkah awal yang positif untuk menyelesaikan masalah imigran di Sabah.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, golongan warga asing itu lebih mudah difahami dengan menggunakan satu dokumen antarabangsa berbanding Pas Sementara Sabah (PSS) yang mencurigakan.
“Kerajaan Filipina juga akan berasa gembira kerana selepas mereka diberikan status yang sah sebagai rakyat Filipina serta pasport, mereka boleh mendapat pas kerja untuk bekerja di Malaysia.
“Saya gembira Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah pertama yang telah lama ditunggu-tunggu untuk mengatasi punca segala masalah di Sabah,” kata Jeffrey dalam laporan itu.
Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, partinya akan membantu Kerajaan Persekutuan memberi penjelasan tentang perkembangan terbaharu itu kepada rakyat melalui forum berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicadangkannya.
“Polisi baharu yang disambut baik telah diumumkan dalam perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri di mana beliau bertegas mengambil tindakan ke atas semua pendatang haran di Malaysia, tiada lagi PATI.
“Saya juga gembira pasukan keselamatan telah mengenal pasti banyak laluan tikus digunakan pendatang haram untuk memasuki Malaysia dan akan memastikan kemasukkan haram itu dapat dihentikan.
“Penyelesaian ini adalah langkah positif diambil Perikatan Nasional (PN) dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Saya juga berharap langkah penting seterusnya untuk memperkenalkan kad pengenalan Sabah akan menyusul,” katanya lagi.-http://beritasabah.com
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi