SABAH NEW DEAL, BANTUAN FASA KEDUA BERJUMLAH RM240 JUTA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan peruntukan Pakej Bantuan Covid-19 fasa kedua bertemakan “Sabah New Deal ” bernilai RM240 juta bagi membantu mengaktifkan semula, memulih dan menyuburkan kembali sektor ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan itu, yang juga kesinambungan kepada Pakej Bantuan Covid-19 Sabah fasa pertama berjumlah RM670 juta sebelum ini bertujuan memperkasakan lagi ekonomi digital di negeri ini.

“Tiga objektif dalm pakej bantuan ini iaitu itu mempercepat transformasi kepada ekonomi digital, memanfaat dan memperluaskan peluang ekonomi dalam bidang agromakanan dan memperkasakan sumber manusia serta menjana peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika mengumumkan pakej itu di sini, hari ini.

Berikutan pengumuman itu, jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan untuk bantuan Covid-19 di Sabah adalah sebanyak RM910 juta.

Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri akan terus berusaha mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah dan usaha itu akan dimulakan dengan melaksanakan Program Digitalisasi Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi kualiti, kapasiti dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini.

“Oleh itu kerajaan negeri memperuntukkan RM35 juta untuk menaiktaraf kesemua pelayan komputer kerajaan dengan menyediakan kelengkapan, peralatan serta aplikasi digital terkini termasuk penyediaan internet jalur lebar berkelajuan tinggi di bangunan pejabat kerajaan negeri.

“Sebanyak RM60 juta pula diperuntukkan bagi menggalakkan sektor swasta termasuk pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah beralih kepada urusniaga ekonomi digital, yang mana, RM50 juta daripadanya bagi membantu mengukuhkan rantaian nilai serta logistik berkaitan, manakala selebihnya bagi membangunkan platform e-Dagang Berpusat Sabah,” katanya.

Katanya, kerajaan Sabah turut menyalurkan bantuan kepada sektor pertanian ke arah memperluaskan lagi peluang ekonomi dalam bidang agromakanan termasuk memberi peruntukan RM25 juta bagi pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha bidang tersebut, dengan pembayaran pertama hanya perlu dibuat pada Januari 2021 dan berakhir pada Disember tahun sama.-http://beritasabah.com