SEMPORNA: Susulan aduan orang awam mengenai kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) yang semakin membimbangkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan Ops Sapu di kawasan penempatan setinggan di kawasan Kampung Bubul Lama dan Kampung Damai, Semporna, hari ini.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya memandang serius setiap aduan yang diterima demi menjaga keselamatan penduduk di daerah berkenaan.
“Operasi yang dibuat ini berdasarkan aduan awam mengenai kerisauan masyarakat di daerah Semporna ini mengenai kehadiran dan keberadaan Pati.
“Pegawai serbuan menjalankan operasi ini berdasarkan target aduan yang diterima dan pagi ini seramai 74 individu ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memantau Ops Sapu di Semporna, pagi tadi.
Menurut Sitti Saleha, sepanjang operasi dijalankan, pelbagai taktik digunakan oleh Pati untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
“Kita lihat dari operasi tadi, ada cubaan menghalang penguat kuasa masuk ke kawasan dengan meletakkan lori besar di jalan, serta kemungkinan sengaja menumbangkan sebatang pokok bagi menyukarkan pergerakan penguat kuasa.
“Ada juga Pati yang cuba bersembunyi di dalam almari. Ini adalah taktik biasa dilakukan oleh kelompok ini,” katanya.
Operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi itu melibatkan seramai 40 pegawai dan anggota dari lima daerah, iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan, dan Kota Kinabalu.
Turut hadir, Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Sabah, Dzul Azwie Nawawi dan Ketua Imigresen Tawau, Lily Surihani Raona.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan